Friday, February 18, 2011

Apakah Allah Terima Taubatku?

Kamu lakukan dosa kerana kejahilan, lalu segera bertaubat ...

Firman Allah s.w.t maksudnya: "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggupi oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat. Maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
(Surah an-Nisa' 4: 17)


Kamu lakukan dosa tetapi kemudian kamu insaf dan berusaha memperbaiki diri ...

Firman Allah s.w.t maksudnya: "Dan mana-mana dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima Taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya."
(Surah an-Nisa 4: 16)
 
Dia memaafkan kesalahan yang kamu lakukan ...

Firman Allah s.w.t maksudnya: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Syura 42: 25)

Dia memaafkan kesalahan siapa sahaja yang dikehendaki-Nya ...

Firman Allah s.w.t maksudnya: "Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Surah at-Tawbah 9: 15) 

Wednesday, February 2, 2011

Antara Sabar Dan Mengeluh

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?" Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?" Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu." Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke atas badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua." 

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?" Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith Qudsi:

"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."
 
Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabda Rasulullah s.a.w pula:

"Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." 
(Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebankan hamba-hambaNya melainkan mereka sendiri mampu memikulnya. 
Wallahualam