Wednesday, January 26, 2011

Erti Suatu Kebaikan

Ombak besar bersama ribut baru melanda sebuah kampung nelayan. Di pantai terdampar ribuan ketam-ketam kecil yang dibawa bersama ombak besar itu. Apabila ribut reda dan cuaca tenang semula kelihatan seorang tua sedang mengutip ketam-ketam yang sudah "nyawa-nyawa ikan" kerana kekeringan itu lalu dicampakkannya semula ke laut. Seekor demi seekor.

Perbuatan orang tua itu diperhatikan oleh sekumpulan anak muda yang kebetulan berada di pantai itu. Mereka pelik melihat betapa tekunnya orang tua tersebut mengutip satu demi satu ketam-ketam kecil untuk dicampakkan ke laut.
"Atuk buat apa itu?" tegur seorang daripada anak muda itu.
"Kutip ketam ni untuk buang buang semula ke laut," jawab orang tua itu.
"Kenapa?"
"Kalau dicampakkan ke laut kan ketam ini akan berpeluang hidup?"
"Atuk nak kutip semua ni ke?" tanya mereka lagi sambil menunjukkan ribuan ketam-ketam yang terdampar di pantai itu.
"Begitulah. Tapi mana atuk terdaya... ini pun dah cukup letih," akui orang tua itu. Namun tangannya masih sibuk mengutip dan mencampakkan ketam-ketam itu ke laut. Perlahan-lahan.
Anak muda itu senyum sambil menggeleng-geleng kepala.
 "Sia-sia sahaja atuk. Ribuan ketam ni akan mati. Atuk tak akan sempat dan mampu menyelamatkan semuanya."
"Eh, tidaklah."
"Kenapa?"
"Bagi kita mungkin nampak sia-sia sebab apalah ertinya menyelamatkan seekor dua ketam ni berbanding ribuan lain yang akan mati tetapi bagi seekor ketam yang kita selamatkan itu, ia terlalu besar ertinya."
"Kenapa atuk?"
"Kerana ia melibatkan soal hidup atau matinya, betul tak?" tanya orang tua itu.
Anak-anak muda yang memandang sinis sejak tadi terdiam melihat kebijaksaan dan keprihatinan orang tua itu.


Pengajaran: 
Jangan fikir besar atau kecilnya satu kebaikan apabila kita ingin melakukannya. Mungkin apa yang dianggap kecil oleh kita adalah sangat besar pada yang menerimanya. Apatah lagi apabila kita sedar Allah menilai setiap kebaikan yang kita buat. Mungkin suatu yang dianggap kecil oleh kita adalah besar pada pandangan Allah justeru keikhlasan dan kesabaran dalam melaksanakannya.

sumber: Solusi

2 comments: